Banjir Kilat: Peningkatan Risiko dan Pendedahan Masyarakat Bandar

Banjir Kilat: Peningkatan Risiko dan Pendedahan Masyarakat Bandar

Chan Ngai Weng

Chan Ngai Weng, PhD (Middx.) ialah Profesor Madya di PP Ilmu Kemanusiaan dalam bidang Geografi

Di Malaysia, risiko dan terdedahnya manusia kepada bahaya banjir kilat, khasnya di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai taburan penduduk yang padat serta kadar binaan yang tinggi, telah meningkat dengan signifikannya dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Hal ini terbukti oleh kejadian-kejadian banjir kilat yang serius di sekitar bandar utama negara seperti Kuala Lumpur, Georgetown, Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain (Chan, 1996a).

Biasanya, sebab utama banjir kilat ialah aliran permukaan pesat akibat perubahan guna tanah (dari permukaan telapair seperti hutan kepada permukaan tidak telapair seperti konkrit, simen dan asphalt), alur-alur sungai dan longkang yang tersekat, berkurangnya keupayaan sungai melalui pemendapan kelodak dan kejadian hujan ribut seperti hujan ribut perolakan yang lebat.

Lazimnya, banjir kilat berlaku dengan pesat (iaitu beberapa minit hingga setengah jam selepas hujan berlaku) tetapi juga berakhir dengan cepat (iaitu jangka hidupnya adalah dari setengah jam hingga sehari).

Manusia kini telah tiba pada satu peringkat evolusinya apabila kemajuan teknologi membolehkannya mempengaruhi dan mengawal banyak aspek alam semula jadinya. Justeru itu, manusia telah dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam penetuan masa depan tamadun. Walaupun manusia masih belum dapat mengawal berbagai-bagai fenomena alam semula jadi seperti kejadian hurikan, taufan, letusan gunung berapi dan gempa bumi, kemajuan teknologi telah membolehkan manusia memodifikasikan dan mengubahkan pelbagai fenomena alam seperti hujan (melalui pembuatan ‘hujan tiruan), aliran permukaan (melalui pengawalan guna tanah), kemarau dan bekalan air (melalui pengairan dan saliran), cuaca dan iklim (melalui pencemaran dan pembandaran) dan lain-lain.

Di dalam kes banjir kilat, memang terdapat pelbagai cara struktur dan bukan struktur untuk mengawasinya. Pengurusan banjir yang cekap dengan menggunakan teknologi semasa patut dapat mengurangkan kejadian banjir kilat. Namun begitu, beberapa aspek banjir kilat seperti magnitud, kekerapan dan tempoh kejadian didapati terus meningkat di kebanyakan tempat di Malaysia, khasnya di bandar-bandar besar yang mengalami pembangunan pesat (Jamaluddin, 1985).

Banjir bulan September 1995 di Pulau Pinang dan banjir bulan Disember 1995 di Shah Alam dan Kuala Lumpur ialah contoh-contoh yang ketara (Chan dan Goh, 1995a). Di Georgetown, khasnya di sekitar Jalan P. Ramlee dan Jalan Perak, banjir kilat sering berlaku di kebanyakan tempat setiap kali hujan lebat berlaku untuk beberapa jam.

Keadaan ini juga berlaku di Kuala Lumpur di sekitar Jalan Kelang Lama, Kampung Baru, Pantai Dalam dan Kampung Haji Hukum Abdullah. Di bandar-bandar tersebut, banjir kilat telah menjadi begitu kerap sehingga alasan pihak-pihak berkenaan bahawa banjir disebabkan oleh ‘tindakan Tuhan’ tidak dapat diterima lagi.

Rakyat kini adalah lebih berpendidikan, lebih sedar akan masalah alam sekitar dan juga mendapat maklumat semasa dengan lebih kerap. Mereka lebih yakin bahawa kejadian banjir kilat disebabkan oleh kesilapan manusia dan kegagalan pengurusannya daripada hasil ‘Tuhan’ atau hasil fenomena semula jadi.

Banjir kilat bukan seluruhnya dihasilkan oleh ‘tindakan manusia’ mahupun oleh ‘tindakan semula jadi’. Tanpa hujan ribut, dataran banjir mungkin tidak begitu kerap ditenggelami. Namun begitu, pilihan manusia untuk mendiami dan membangunkan dataran banjir dengan pesat, khasnya di bandar-bandar besar, merupakan sebab utama meningkatnya kejadian banjir kilat. Masalah ini kian meruncing kerana manusia berterusan membangunkan dataran banjir, memusnahkan kawasan hutan dan memotong cerun bukit untuk pembangunan.

‘Bahaya banjir’ merupakan satu fenomena atau kejadian yang mewujudkan ancaman atau bahaya kepada manusia. Banjir bukannya ‘bahaya’ dalam semua konteks pada semua masa. Misalnya, banjir yang berlaku di kawasan bakau dan paya yang tidak didiami orang bukannya suatu bahaya. Sebaliknya, ia mungkin dikelaskan sebagai suatu ‘sumber’ alam kerana banjir itu dapat menjadikan tanah di sekitarnya lebih subur dengan membawa masuk zat-zat dari tempat lain.

Banjir hanya menjadi bahaya apabila melibatkan masyarakat manusia, khususnya kejadian banjir yang berlaku di kawasan berpenduduk padat yang berpotensi mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Oleh itu bahaya banjir ialah potensi ancamannya.

Bahaya banjir boleh berubah menjadi buruk sehingga dianggap ‘bencana banjir’, apabila kesannya mengakibatkan kemusnahan besar dan/atau kehilangan nyawa manusia yang signifikan. Dalam sesuatu bencana banjir, hampir seluruh masyarakat manusia menjadi mangsa. Sistem-sistem sokongan dalam masyarakat tersebut menjadi terjejas dan mekanisme penyesuaiannya juga musnah. Lazimnya, kehilangan nyawa adalah tinggi.

Kerugian Banjir Kilat

Di Malaysia, kematian yang diakibatkan oleh banjir kilat tidaklah sebesar seperti yang dialami oleh Bangladesh, iaitu beratus-ratus ribu nyawa sering terkorban.

Namun begitu, kerosakan kepada harta benda, kemusnahan infrastruktur, kehilangan perniagaan dan kehilangan nyawa adalah signifikan (Chan, 1995). Misalnya, walaupun tiada kajian teliti yang dijalankan, jumlah kerugian dalam banjir 1971 di Kuala Lumpur, banjir Jun 1991 dan banjir September 1995 di Pulau Pinang, dan banjir Disember 1995 di Shah Alam, Selangor dianggarkan berjuta-juta ringgit.

Kos tahunan yang dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia dalam mengendali operasi bantuan bencana banjir (persiapan, penyelamatan, pemindahan, penempatan sementara, pembekalan makanan dan pakaian, serta pemuliharaan mangsa-mangsa banjir) adalah besar. Dari segi kehilangan nyawa, hampir setiap tahun di merata tempat di Malaysia terdapat mangsa yang terkorban.

Biasanya, kerugian akibat banjir yang dianggarkan oleh pihak kerajaan (misalnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran atau oleh Kementerian Pertanian) tertumpu pada kerosakan tanaman, ternakan, infrastruktur awam dan bangunan awam.

Setakat ini, tiada kajian mendalam yang meneliti kerugian yang dialami oleh pihak swasta dan orang awam. Jika kerugian swasta dan orang awam dikira, maka jumlah kerugian akibat banjir mungkin menjadi sangat besar. Misalnya, kajian kerugian banjir yang dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) menunjukkan bahawa purata potensi kerugian bagi satu kejadian banjir dengan tempoh ulangan satu dalam 10 adalah kira-kira RM500 juta dalam nilai mata wang 1988. Nilai ini akan meningkat sehingga kira-kira RM1,000 juta dalam tahun 2005. Jika sesuatu kejadian banjir dengan tempoh ulangan satu dalam 200 tahun berlaku, maka jumlah kerugian akan meningkat menjadi RM2,500 juta dalam tahun 2005.

Kerugian akibat banjir pada harta benda swasta, perniagaan dan industri juga sangat signifikan. Kerugian yang dialami termasuklah kerugian langsung dan kerugian tidak langsung, kerugian boleh dikesan (tangible loss) dan kerugian tidak boleh dikesan (intangible loss). Misalnya, Chan (1995) mendapati bahawa purata kerugian sesuatu banjir yang dialami oleh sebuah isi rumah dalam tahun 1993 adalah dalam lingkungan RM1,393.

Jumlah kerugian ini nampaknya tidak besar tetapi apabila dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah yang menetap di dataran banjir, maka ia akan menjadi signifikan. Dalam kajian ini, hampir separuh daripada isi rumah yang dikaji mempunyai purata pendapatan bulanan di bawah RM500.

Di dalam kajian yang sama terhadap perniagaan, didapati bahawa hampir semua kedai perniagaan telah mengalami kerugian akibat banjir kilat. Kira-kira 58.9% daripada bilangan pemilik perniagaan yang dikaji mengatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian melebihi RM1,000 dalam banjir kilat yang baru berlaku.Kira-kira 58.9% daripada bilangan pemilik perniagaan yang dikaji mengatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian melebihi RM1,000 dalam banjir kilat yang baru berlaku.

Yang lebih signifikan ialah bahawa 9.3% daripada pemilik perniagaan mengalami kerugian melebihi RM10,000. Kerugian yang dialami oleh industri juga amat besar. Ini demikian kerana banjir sering menyebabkan terganggunya syif kerja dan mengakibatkan kerosakan bahan mentah, barangan siap dan jentera. Memandangkan Pulau Pinang banyak bergantung pada sektor industri, maka kesan banjir kilat menjadi amat penting diketahui.

Kajian ini menunjukkan bahawa kerugian akibat banjir yang dialami oleh industri adalah antara RM10,000 hingga RM500,000 setiap kilang. Jumlah kerugian biasanya bergantung pada jenis dan saiz kilang, dan juga magnitud dan tempoh banjir.

Sebab-sebab Meningkatnya Risiko dan Terdedahnya Masyarakat Bandar pada Banjir Kilat

Malaysia mengalami rejim iklim khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun. Ciri utama iklimnya ialah jumlah hujan tahunan lebat di antara 1,500 mm hingga melebihi 3,500 mm (Rajah 1). Yang lebih penting ialah kejadian tempoh-tempoh hujan lebat berterusan, biasanya selama beberapa hari dengan intensiti hujannya adalah lebat. Misalnya, jumlah hujan sebanyak 610 mm dalam masa 24 jam merupakan suatu kelaziman.

Pada umumnya, kejadian hujan ribut perolakan semasa musim-musim peralihan monsun pada bulan-bulan April dan Oktober adalah serentak dengan kejadian banjir kilat. Namun begitu, banjir kilat juga sering berlaku di pantai timur semasa musim monsun timur laut. Di pantai barat semenanjung, kejadian banjir kilat juga berlaku pada musim monsun barat daya di negeri-negeri utara semenanjung seperti Kedah dan Perlis.

Semasa musim monsun barat daya, angin barat selatan yang diikuti kejadian ‘badai selari’ (line squalls) yang dikenali sebagai ‘Angin Sumatra’ juga membawa hujan lebat di pantai barat semenanjung, khasnya di Pulau Pinang dan sepanjang pantai Kedah dan Perlis. Pada masa itu, banjir kilat sering berlaku.

Banjir kilat juga telah menjadi semakin kerap pada tahun-tahun kebelakangan ini dan menyebabkan meningkatnya risiko, terdedahnya manusia atau vulnerabiliti manusia kepada banjir. Kawasan dataran banjir memang telah lama merupakan kawasan penempatan yang menarik bagi penduduk Malaysia.

Dari segi sejarah, penduduk awal telah menetap di tepi sungai, muara sungai dan di sekitar dataran banjir berhampiran sungai. Cara penempatan ini mungkin disebabkan oleh kemudahan bekalan air, pertanian dan pengairan, perikanan, pengangkutan dan perhubungan, perlombongan (bijih timah) dan pertahanan. Oleh sebab kebanyakan penempatan terletak di tepi sungai, maka dataran banjir merupakan kawasan yang padat dengan penduduk.

Pada masa ini, telah dianggarkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 2.5 juta orang yang menetap di dataran-dataran banjir di Malaysia. Mereka inilah yang mengalami risiko tinggi dan yang terdedah kepada bahaya banjir. Dataran banjir juga merupakan kawasan tertumpunya kebanyakan aktiviti ekonomi.

Jadual 2 menunjukkan taburan pusat-pusat bandar di kawasan dataran banjir di Malaysia. Tiga pusat yang terbesar terletak di kawasan dataran banjir.mDi samping itu, lima daripada 10 pusat yang terbesar juga terletak di kawasan dataran banjir dan setengah daripada semua pusat bandar terletak berhampiran dengan sungai. Justeru itu, maka tidak hairanlan bahawa risiko dan terdedahnya masyarakat manusia kepada banjir adalah tinggi.

Pembangunan pesat yang diiringi oleh kadar pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia pada tahun-tahun lewat 1980-an hingga sekarang makin meruncingkan masalah banjir kilat.

Dari 1988 hingga 1995, ekonomi Malaysia telah tumbuh pada kadar 8.0% setahun dan tanda-tanda menunjukkan bahawa ia akan tumbuh dengan lebih pesat lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Dengan kadar pembangunan yang begitu pesat menuju ke arah pencapaian matlamat negara sebagai negara perindustrian baru (NIC), maka lebih banyak kawasan bandar akan berkembang dan lebih banyak kawasan dataran banjir juga akan dimajukan.

Penghijrahan penduduk desa-bandar juga mempengaruhi taburan penduduk yang padat di kawasan dataran banjir bandar. Memandangkan dasar kerajaan menggalakkan penduduk luar bandar meningkatkan taraf hidup mereka, maka ramai penduduk luar bandar telah berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari kemewahan.

Kebanyakan penghijrah ini kemudian tertumpu di kawasan setinggan di bandar-bandar besar. Di Kuala Lumpur, penghijrah-penghijrah biasanya didapati menetap di kawasan setinggan di sekitar Kampung Baru, Kampung Abdullah Haji Hukum. Kampung Pantai Dalam, Jalan Kelang Lama dan Brickfields dan kesemua kawasan berhampiran sungai yang sering dilanda banjir kilat.

Pertumbuhan penduduk bandar yang disebabkan oleh penghijrahan desa-bandar dan pertumbuhan semula jadi telah membawa kepada tekanan-tekanan terhadap tempat kediaman. Kekurangan rumah kos rendah telah menyebabkan proses persetingganan menjadi semakin tidak terkawal.

Dari 1911 hingga 1990, kadar pembandaran telah meningkat dari 10.7% hingga 44.7%. Bilangan pusat-pusat bandar juga telah bertambah lebih daripada lapan kali (Jadual 3). Misalnya, pembangunan adalah begitu pesat sehingga pusat-pusat bandar Kuala Lumpur-Petaling Jaya-Shah Alam -Kelang akan menjadi satu konurbasi berterusan di sepanjangnya lurah Kelang menjelang tahun 2020. Telah dianggarkan bahawa jumlah keluasan kawasan bandar di bahagian tengah lurah Kelang pada tahun 2005 ialah 80.0%.

Di kebanyakan bandar di Malaysia, bencana banjir kilat semakin meningkat dari segi kekerapan dan magnitud kerana manusia memilih untuk menetap di dataran banjir, tidak mengambil berat tentang bahaya banjir, mengurus banjir dengan tidak baik, memajukan tanah dengan berlebihan (khasnya tanah bukit), dan memusnahkan sumber hutan dalam kadar yang pesat. Di Georgetown dan Kuala Lumpur, pembangunan pesat di dataran banjir telah mencetekkan dasar sungai; pembuangan sampah sarap menghalang aliran sungai; dan penggunaan tebing sungai untuk pertanian haram, perumahan haram (setinggan) dan tujuan lain sekurang-kurangnya telah mengakibatkan meningkatnya kekerapan banjir kilat (Chan, 1996a dan 1996b).

Dalam usaha giat mencapai taraf perindustrian, Malaysia mungkin akan terjatuh ke dalam ranjau seperti yang telah menimpa kebanyakan negara maju pada suatu ketika dahulu. Misalnya, Britain dan Amerika Syarikat telah mengalami pertambahan kadar kerosakan harta benda dan kehilangan jiwa sebagai akibat kejadian banjir dan hal ini terjadi kerana kadar pembangunan yang pesat di dataran-dataran banjir.

Tambahan lagi, pembangunan yang pesat lazimnya menitikberatkan aspek-aspek ekonomi dengan mengorbankan aspek-aspek perlindungan banjir. Hal ini mewujudkan strategi pembangunan tidak seimbang yang mengorbankan prinsip-prinsip perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar.

Berdasarkan hasrat dan objektif kerajaan yang terkandung di dalam wawasan 2020nya, Malaysia akan meningkatkan lagi usaha-usahanya di dalam perindustrian dan mempercepat lagi kadar pembangunan ekonominya dalam tahun-tahun 1990-an sehingga tahun 2020.

Justeru itu, semakin banyak kawasan dataran banjir akan dibangunkan dan lebih banyak harta benda, kemudahan awam dan infrastruktur akan menjadi terdedah kepada banjir.

Walaupun wawasan 2020 merangkumi aspek-aspek perlindungan alam sekitar, proses lain seperti pertumbuhan penduduk yang pesat dan migrasi desa-bandar, dan perkembangan sektor swasta dalam perniagaan, perdagangan, perumahan dan industri akan mendedahkan lebih ramai penduduk kepada risiko dan bahaya banjir. Sehubung dengan itu, vulnerabiliti penduduk yang tinggal di dataran banjir terhadap banjir akan menjadi lebih tinggi.

Selain sebab-sebab yang dinyatakan di atas, bergantinya hutan khatulistiwa yang padat dengan permukaan-permukaan tiruan yang tidak telapair seperti simen, konkrit, asphalt, tar dan tanah terdedah telah meningkatkan risiko, terdedahnya penduduk pada banjir kilat di bandar-bandar utama di Malaysia.

Permukaan-permukaan tiruan mengurangkan dengan signifikannya masa tangguhan titisan hujan tiba ke dalam sistem saliran (sungai atau longkang). Di dalam sebuah ekosistem hutan semula jadi, titisan-titisan hujan terpaksa melalui beberapa proses fizikal yang memanjangkan masa air hujan tiba ke dalam sistem saliran. Tambahan lagi, hutan dan tanah juga berupaya menyerap sebahagian daripada hujan. Justeru itu, hanya sebahagian kecil air hujan yang turun dalam ekosistem semula jadi akan masuk ke dalam sistem saliran.

Sebahagian besar telah diserap oleh tumbuhan dalam hutan dan juga oleh tanah sebagai simpanan air tanah. Maka hutan bukan sahaja memanjangkan masa tangguhan tetapi juga menyerap banyak hujan. Sebaliknya, di bawah keadaan permukaan tiruan yang tidak telapair di bandar, hampir kesemua air hujan yang turun akan masuk ke dalam sistem saliran pada tempoh masa yang singkat. Akibat nya masa tangguhan kadangkala cuma beberapa minit sahaja. Aliran yang begitu pesat ke dalam alur-alur sungai dan longkang-longkang saliran akan menyebabkan banjir kilat berlaku.

Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait dengan pengawalan banjir yang kurang efektif juga merupakan salah satu sebab meningkatnya kekerapan banjir kilat. Misalnya, walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ialah pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pengawalan banjir, ia langsung tidak mempunyai kuasa undang-undang apabila tiba masa membuat keputusan-keputusan yang berkait dengan pembangunan sungai, tanah tepi sungai atau tanah dataran banjir.

Dalam hal-hal begini, Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran dan Pejabat Daerah lazimnya merupakan badan-badan berkuasa dalam menentukan kelulusan sesuatu projek pembangunan.

Dalam hal pembangunan tanah di dalam sebuah negeri, malah Kerajaan Persekutuan pun sering tidak mempunyai sebarang kuasa kecuali jika tanah diperlukan untuk membina lebuh raya, bangunan kerajaan atau binaan awam yang lain. Mengikut peraturan pembangunan tanah dataran banjir yang melibatkan saliran atau pengawalan banjir, Kerajaan Negeri perlu meminta nasihat daripada pihak JPS. Justeru itu, JPS akan menilai projek tersebut dari segi keperluan saliran dan pengawalan banjir dan kemudian menyerahkan laporannya kepada pihak Kerajaan Negeri.

Namun begitu, perlu juga dinyatakan bahawa laporan JPS itu hanya ‘nasihat’ dan bukan peraturan yang perlu diikuti dari segi undang-undang. Oleh sebab faedah-faedah ekonomi dan kewangan adalah sentiasa lebih dipentingkan daripada pertimbangan-pertimbangan saliran, nasihat JPS mungkin diketepikan. Justeru itu, maka tidak hairanlah bahawa sesetengah projek pembangunan masih terus berjalan walaupun spesifikasi-spesifikasi saliran dan pengawalan banjirnya adalah tidak mencukupi.

Sebagai akibatnya, penguatkuasaan peraturan-peraturan saliran dan pengawalan banjir adalah kurang efektif. Jikalau pun pihak Kerajaan Negeri rela menerima dan mengikut nasihat JPS, syarikat-syarikat pembangunan swasta juga sering tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditentukan. Misalnya, mereka tidak menutup kawasan terdedah dengan kain plastik atau menanam semula rumput di atasnya, kurang menanam pokok di kawasan perumahan dan tidak menyediakan longkang dan sistem saliran yang mencukupi.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, telah berlaku beberapa peristiwa buruk yang melibatkan tanah runtuh dan banjir. Salah satu ialah keruntuhan Highland Towers di Kuala Lumpur dalam tahun 1993 (dianggarkan 70 orang telah terkorban), tragedi tanah runtuh Genting Highlands (20 orang telah terkorban), banjir kilat September 1995 di Pulau Pinang dan banjir kilat di Shah Alam dalam Disember 1995.

Kesemua peristiwa tersebut mungkin dapat dielakkan jika JPS mempunyai kuasa undang-undang untuk memastikan peraturan-peraturan guna tanah kawasan bukit, saliran dan pengawalan banjir diikuti. Buat masa kini, JPS hanya merupakan sebuah badan ‘nasihat’ sahaja. Walaupun terdapat banyak implikasi politik, JPS haruslah diberi lebih banyak kuasa undang-undang untuk mengurus dan membuat keputusan di dalam hal-hal yang berkenaan dengan pembangunan tanah di dataran banjir, khasnya yang berhampiran dengan sungai.

Hal yang berkait rapat dengan tidak berkesannya penguatkuasaan peraturan-peraturan pengawalan banjir ialah pembangunan tanah bukit. Misalnya, di Pulau Pinang, permintaan perumahan yang tinggi disebabkan oleh kekurangan tanah pamah. Hal ini telah menyebabkan pemaju-pemaju perumahan mencari alternatif tanah di kawasan berbukit. Justeru itu, banyak tanah bukit telah dan sedang dimajukan di Pulau Pinang.

Kebanyakan projek pembangunan tidak mematuhi undang-undang yang berkait dengan syarat-syarat pembangunannya, malah dimajukan juga projek di tanah bercerun melebihi 20o. Misalnya, di projek perumahan besar Paya Terubong, kerja-kerja pembinaan dijalankan di tanah yang bercerun di antara 50o hingga 70o (Rajah 2). Oleh sebab itu, kawasan luas ini terdedah pada hakisan unsur-unsur cuaca dan hal ini mungkin akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Selain pembangunan di kawasan ini, terdapat juga pembangunan di sekitar Bukit Teluk Bahang, Bukit Tanjung Bungah dan Bukit Bendera.

Pembangunan tanah bukit yang berskala besar mungkin merupakan satu faktor penyumbang peningkatan risiko, dan vulnerabiliti manusia terhadap banjir.

Hal ini demikian kerana pembukaan tanah bukit untuk pembangunan (khasnya untuk perumahan, pertanian dan rekreasi) akan mempercepat kadar hakisan dan kadar air larian permukaan, meningkatkan tanah runtuh dan mencetekkan dasar sungai akibat pemendapan kelodak.

Kesemua hal tersebut akan membawa bertambahnya kekerapan banjir kilat. Misalnya, di dalam banjir September 1995 di Pulau Pinang, kira-kira 60 tanah runtuh telah berlaku di sekitar Bukit Bendera.

Setinggan haram merupakan proses sosial yang telah diperkukuh oleh kuasa-kuasa sosioekonomi dan politik yang lebih menyeluruh (Wan Abdul Halim Othman, 1982). Penempatan di zon-zon dataran banjir bandar yang bahaya (yang sering dibanjiri) oleh setinggan haram turut menyumbang peningkatan risiko, pendedahan dan vulnerabiliti manusia kepada banjir.

Kemunculan koloni-koloni setinggan haram di dataran banjir bandar sejak tahun-tahun 1970-an akibat migrasi desa-bandar merupakan satu tindak balas terhadap seruan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Sebagai akibat meningkatnya taraf pendidikan, maka pemuda-pemudi luar bandar kini tidaklah ingin mengikuti langkah ibubapa mereka untuk menjadi petani, nelayan, buruh kasar atau penternak. Malah mereka langsung tidak mahu hidup di kampung.

Setiap tahun berpuluh-puluh ribu pemuda-pemudi desa berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari kemewahan. Malangnya, bukan semua daripada mereka berjaya. Sebenarnya, segolongan besar terpaksa memilih perumahan murah yang biasanya terdapat di koloni-koloni setinggan.

Di Kuala Lumpur, kawasan-kawasan setinggan terdapat di Kampung Baru, Brickfields, Kampung Haji Hukum Abdullah, Jalan Kelang Lama dan Kampung Pantai Dalam, iaitu kesemuanya terletak di tepi Sungai Kelang. Justeru itu, koloni-koloni setinggan tersebut sering dilanda banjir dan merupakan kawasan-kawasan bahaya.

Di Pulau Pinang, kawasan setinggan juga di dapati di sekitar Sungai Air Itam (di sekitar stadium) dan Sungai Pinang. Kawasan-kawasan tersebut juga mengalami kekerapan banjir kilat yang tinggi. Baru-baru ini satu fenomena baru telah muncul, iaitu yang berkaitan dengan bertambahnya koloni-koloni setinggan pendatang asing Indonesia di sekitar Kuala Lumpur dan bandar besar lain.

Di Pekan pula, terdapat satu koloni setinggan yang terdiri daripada orang pelarian Kampuchea di Pulau Pekan Baru, sebuah penempatan yang dibina di dalam air cetek beting selatan Sungai Pahang.

Kesimpulan

Rencana ini menunjukkan bahawa risiko dan terdedahnya manusia pada bahaya banjir kilat di merata tempat di Malaysia, khasnya di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai kadar binaan padat, telah meningkat dengan besarnya dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Sebagai akibat meningkatnya tahap kesedaran awam melalui pendidikan dan sebaran maklumat yang lebih baik, orang awam kini memandang banjir kilat sebagai peristiwa yang bukannya berasal daripada alam semula jadi.

Mereka semakin sedar bahawa sebab akibat banjir, khasnya di kawasan bandar raya, adalah lebih sering disebabkan oleh kesilapan manusia dan pengurusan yang tidak cekap daripada sebab-sebab semula jadi. Justeru itu, tuntutan ahli-ahli politik bahawa banjir kilat ialah ‘tindakan Tuhan’ memang tidak dapat diterima.

Rakyat memerlukan akauntabiliti daripada pemimpin dan pihak yang bertanggungjawab ke atas pengawalan banjir. Banjir kilat bukannya ‘tindakan Tuhan’ ataupun ‘tindakan kuasa-kuasa semula jadi’. Ia sebenarnya hasil interaksi antara sistem peristiwa semula jadi dengan sistem gunaan manusia.

Interaksi begini boleh menghasilkan kesan negatif seperti banjir ataupun hasil positif seperti tanah subur, iaitu satu sumber semula jadi. Namun begitu, pilihan manusia untuk mendiami dan membangunkan dataran banjir dengan pesat telah mengakibatkan banyak kesan negatif, terutama meningkatnya kejadian banjir kilat. Masalah ini kian meruncing kerana manusia terus membangunkan dataran banjir, memusnahkan hutan dan memotong cerun bukit untuk pembangunan.

Manusia patut mempelajari cara-cara memaksimumkan sumber semula jadi dan meminimumkan bahaya dan bencana semula jadi. Akan tetapi, manusia sering tidak belajar dengan cepat tetapi lazim mengulangikan kesilapan-kesilapan dahulu.

Krisis alam sekitar yang dialami oleh kebanyakan negara maju di barat (disebabkan oleh eksploitasi revolusi perindustrian) telah terbukti oleh kejadian bencana alam yang semakin teruk. Namun begitu, kebanyakan negara sedang membangun hanya memilih untuk melihat faedah-faedah positif pembangunan industri dan ekonomi yang dipamerkan oleh negara-negara maju tetapi menjadi buta pada kesan-kesan negatifnya. Beginilah pandangan umum kebanyakan negara membangun yang sedang mengejar dunia maju supaya taraf pembangunan yang setanding tercapai.

Malaysia tidaklah harus memilih langkah pembangunan sebegini. Strategi pembangunannya haruslah diseimbangkan oleh perlindungan kepada alam sekitar dan pemeliharaan sumber alamnya. Dalam hal itu, Malaysia perlu mencipta suatu dasar pembangunan yang menintikberatkan pembangunan lestari.

Namun begitu, di bawah suasana ekonomi yang baik dalam tahun-tahun kebelakangan ini, semua lapisan masyarakat sibuk mengejar kemewahan. Malah pihak kerajaan juga sibuk mengejar wawasan 2020. Justeru itu, soal banjir menjadi kurang penting di sebalik soal ekonomi, kemewahan dan pembangunan yang menujui arah pencapaian matlamat negara industri baru (NIC). Bagi sebahagian besar rakyat dari segenap lapisan hidup, soal banjir memang kurang penting dibandingkan dengan soal keuntungan kewangan yang mungkin diperoleh, kecuali mereka yang terpaksa menetap di dataran banjir yang berbahaya.

Bibliografi

  1. Chan, N.W. (1995). A Contextual Analysis of Flood Hazard Management in Peninsular Malaysia. Tesis Ph.D.,Middlesex University (UK).
  2. Chan, N.W. (1996). Vulnerability of Urban Areas to Floods. The Star, 26 Jan. 1996, m.s. 4-6.
  3. Chan, N. W. (1996). Floods: Who’s to Blame? The Star, 24 Jan. 1996, m.s. 1, 7-8.
  4. Chan, N.W. and Goh, B.L. (1995). Slip Sliding Away, The Sun Megazine, 21 Nov. 1995, m.s. 4-9.
  5. International Law Book Services (1991). Malaysia Kita, Panduan dan Rujukan untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Kuala Lumpur: International Law Book Services.
  6. Jamaluddin M.J. (1985). Flash Flood Problems and Human Responses to the Flash Flood Hazard in Kuala Lumpur Area. Akademika 26 (Januari), m.s. 45-62.
  7. Karim, G. (ed.)(1990). Information Malaysia 1990-91 Yearbook. Kuala Lumpur: Berita Publisihing.
  8. Oii, J.B. (1979). Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Longmans.
  9. Wan Abdul Halim Othman (1982). Squatter Communities in the Federal Territory. Siri Monograf No. 6, Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Comments are closed.