Membentuk masyarakat penjimat air (Berita Harian)

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Rencana/20070208224850/Article/

Oleh Melati Mohd Ariff

Kerajaan kena konsisten semai sikap gunakan sumber secara berhemah

KEMUNGKINAN berlaku lagi kemarau panjang di negara ini memang tidak dapat dielakkan. Sama ada suka atau tidak, rakyat perlu bersedia menghadapi satu lagi episod pemotongan atau catuan air.

Walaupun diakui air adalah kehidupan dan tidak ada kehidupan boleh wujud tanpa air, berapa ramai di antara kita menyedari air bukan sekadar komoditi, tetapi sumber kehidupan yang amat penting, justeru ia tidak boleh dibazirkan begitu saja.

Acap kali kita sedar betapa berharganya walau setitis apabila terputus bekalan air. Keperitan hidup tanpa bekalan air paip turut menjadikan kita lebih bersemangat untuk berjimat-cermat, tetapi kita sering terlupa untuk mengotakan janji apabila air mula mengalir, kita kembali dengan tabiat lama, mengguna air secara berlebihan dan membazir.

Apapun isu mengenai air bukan perkara baru bagi aktivis air seperti Prof Dr Chan Ngai Weng terutama sejak fenomena El Nino 1997/98.

“El Nino yang berlaku pada tahun berkenaan bukan saja menunjukkan betapa terhad sumber air kita malah kelemahan dalam pengurusan.” kata Dr Chan yang juga Presiden Water Watch Penang (WWP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan ketika memuncak krisis air di Pulau Pinang pada 1997.

“Ketika pihak berkuasa mengakui majoriti sungai kita mencapai kemampuan bekalan maksimum dan ada yang tercemar, pendekatan yang digunakan berdasarkan Pengurusan Bekalan Air (WSM) terbukti tidak mencukupi untuk menguruskan sumber air kita secara lestari,” kata beliau.

Dr Chan yang juga profesor di Bahagian Geografi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berkata, sejak El Nino 1997/98, kerajaan membuat pelbagai janji dan andaian melaksanakan pelbagai langkah menghadapi atau mengelak berlaku lagi bencana El Nino pada masa depan.

Akibatnya, kata beliau, rakyat Malaysia turut membuat andaian bahawa mereka tidak akan berasa impak teruk sekiranya El-Nino melanda lagi negara ini. Oleh yang demikian’ ramai yang tidak mengambil langkah melindungi diri mereka sekiranya berlaku kemarau berpanjangan dan krisis air.

“Tidak ramai yang melabur wang untuk membeli peralatan menyimpan air hujan, membina telaga atau perigi mahu pun menambah jumlah air yang boleh disimpan di dalam tangki air mereka.

“Malah, tidak ramai yang menukar bentuk penggunaan air dengan mengamalkan pendekatan yang lebih berjimat-cermat. Untuk itu, sekiranya El-Nino berlaku lagi, peritnya mungkin seperti yang pernah kita lalui ataupun mungkin lebih teruk lagi,” hujahnya.

Menurut Dr Chan, fokus utama pihak berkuasa lazimnya mengenai pembinaan empangan dan rawatan air, ia perlu dibuat serentak dengan pendidikan dan pemuliharaan air.

Kerajaan, ujarnya perlu sedar bahawa ia tidak boleh terus-menerus membekalkan air kerana jumlah air yang boleh dibekalkan adalah terbatas sedangkan permintaan kian meningkat.

“Pengguna perlu dididik mengenai nilai air dan bagaimana menggunakan air secara bijak. Kita bukannya mencadangkan rakyat Malaysia menjimatkan air sehingga menjejaskan kesihatan atau kebersihan mereka.

“Apa yang kita mahu ialah supaya rakyat Malaysia menggunakan air secara berhati-hati, tidak membazir dan memastikan setiap titis air itu digunakan sebaik-baiknya,” kata Dr Chan.

Hakikatnya, rakyat Malaysia terus menggunakan air secara berlebihan dan menurut Dr Chan, purata seorang rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 310 liter air sehari (LPD). Piawaian antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan setiap orang mendapat air sekurang-kurangnya 165 liter sehari.

“Jadi, secara purata rakyat Malaysia terlebih mengguna air sebanyak 145 liter sehari. Sebagai perbandingan, seorang penduduk Afrika puratanya mengguna hanya 50 liter seorang sehari, penduduk di India secara puratanya menggunakan kira-kira 100 liter seorang sehari. Jiran kita Singapura, seorang rakyatnya menggunakan kira-kira 150 liter sehari,” jelas beliau dengan menambah statistik yang diberinya diperoleh daripada PBB, Persatuan Air Malaysia dan WWP sendiri.

Dr Chan turut mengeluh mengenai usaha kerajaan yang tidak konsisten serta tidak tegas untuk menyemai sikap menggunakan air secara berhemah di kalangan masyarakat negara ini.

“Selama ini sejak El-Nino melanda negara ini pada 1997, pernah anda melihat iklan di kaca televisyen menasihatkan orang ramai supaya jangan membazirkan air? Hanya pada 2006 Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi melancarkan Kempen Penjimatan Air di seluruh negara,” kata Dr Chan, dengan menambah bahawa WWP turut terbabit dalam kempen itu.

Beliau berkata, kempen berkenaan penting dalam usaha pemuliharaan air. Kempen itu juga membuktikan kerajaan mengakui pentingnya untuk meningkatkan kesedaran umum, mendidik orang ramai dan membabitkan masyarakat dalam usaha penjimatan air.

Bagaimanapun, bagi menjamin kejayaan, kempen itu sewajarnya tidak dihadkan untuk satu tempoh tertentu atau apabila wang pembiayaan kempen habis dibelanjakan.

“Usaha ini perlu dibuat secara berterusan supaya meliputi seluruh negara dan semua rakyat dapat diberi kesedaran,” kata Dr Chan.

“Masyarakat perlu diingatkan sepanjang masa mengenai kepentingan air dan pemuliharaannya. Malah, pemuliharaan air ini perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah, dalam sabjek berkaitan,” katanya.

Kejayaan sesuatu kempen juga bergantung kepada penyertaan aktif pengguna jika tidak, alamatnya wang yang dibelanjakan untuk menjayakan kempen itu sia-sia saja. Ia bermakna jika pengguna mempunyai kesedaran tinggi, cukup maklumat, dididik dan sensitif terhadap pemuliharaan air, kebanyakan masalah air dapat ditangani.

“Ketika masyarakat Malaysia semakin hidup senang-lenang, adalah penting orang ramai dibenar menyertai bukan saja dari segi pemuliharaan air tetapi juga isu berkaitan kehidupan mereka.

“Orang ramai sebenarnya mempunyai kuasa dan boleh menentukan gagal atau jayanya pengurusan air kerana mereka adalah pengguna domestik yang menggunakan kira-kira lebih separuh daripada jumlah permintaan air negara.

Memandangkan jumlah yang besar ini, sebarang pengurangan dalam penggunaan mereka, walaupun hanya 10 peratus akan menjimatkan air yang banyak untuk negara,” tegasnya.

Dr Chan berkata, apabila wanita menggunakan air secara berhemah di rumah, adalah diharapkan suri rumah mendidik anak mereka serta ahli keluarga lain mengenai pentingnya menjimatkan air.

Memandangkan kebanyakan guru juga terdiri daripada wanita, beliau berpendapat golongan itu boleh memberi sumbangan besar dalam mendidik murid di bangku sekolah ke arah mewujudkan masyarakat penjimat air.

Sehubungan itu, pihak kerajaan dan pertubuhan wanita perlu memberi fokus terhadap peranan wanita dalam penjimatan air. Dewasa ini, kebanyakan pertubuhan wanita hanya bertumpu kepada isu seperti keganasan rumah tangga, persamaan hak dan gangguan seksual

Sama ada rakyat akan berdepan dengan satu lagi krisis air akibat peningkatan suhu bumi dan fenomena El-Nino tahun ini, kita mungkin perlu ‘tunggu dan lihat.’ Namun, tidak sia-sia jika kita membiasakan diri dengan menjimatkan penggunaan air, bak kata bidalan, ‘Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’.

“Jadi apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah memberikan kesedaran dan mempersiapkan mereka menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menasihatkan mereka menjimatkan penggunaan air.

“Satu cara terbaik ialah dengan mendapatkan kerjasama semua orang supaya mengurangkan mengepam tandas sebanyak sekali sehari. Ia mudah dilakukan kerana kita tidak perlu mengepam tandas setiap kali kita membuang air kecil. Sekali kita mengepam tandas, sembilan liter air terbuang,” katanya.

Sekiranya setiap rakyat Malaysia mengepam kurang sekali dalam sehari, kira-kira 234 juta liter air boleh dijimatkan sehari. Jumlah air ini boleh memenuhi anggaran 10 empangan bersaiz sederhana .

Hakikatnya, banyak lagi yang kita boleh lakukan untuk sama-sama menjimatkan penggunaan air. Sikap positif kita hari ini penentu kehidupan kita hari esok.

Sebagai contoh, periksa dan kawal penggunaan air kita selain daripada tujuan minum dan memasak seperti mencuci pakaian, mandi, menyiram pokok bunga, mencuci kereta, mencuci lantai serta kekerapan kita mencuci akuarium.

-– BERNAMA

 

THE INFORMATION AND COMMENTS ON THIS WEBSITE ARE NOT MEANT TO BE USED OR QUOTED FOR ANY OFFICIAL OR UNOFFICIAL BUSINESS. WATER WATCH PENANG TAKES NO RESPONSIBILITY FOR THE ACCURACY. ANYONE USING THE INFORMATION AND DATA DO SO AT THEIR OWN RISK. WE ALSO APOLOGISE FOR ANY COMMENTS AND REMARKS ON THE WEBSITE THAT YOU MAY FEEL TO BE OFFENSIVE.
Copyright © 2007-2008 Water Watch Penang.