Hutan dan Air

Rencana-Hutan

KHAZANAH HUTAN JANGAN DIPUNAH
(Sempena Hari Hutan Sedunia, 21 Mac dan Hari Air Sedunia, 22 Mac)
Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pada 2005, terdapat hampir empat bilion hektar hutan di seluruh dunia dan penyahhutanan terutamanya untuk pertanian berlaku secara berleluasa pada kadar kira-kira 13 juta hektar setahun.  Hutan asas (ditakrif sebagai hutan dengan spesies asli tanpa petunjuk nyata kegiatan manusia serta gangguan besar ke atas proses ekologi) merupakan 36 peratus daripada jumlah hutan tersebut. Sebanyak enam juta hektar daripada hutan asas ini "hilang" setiap tahun bukan sahaja akibat penyahhutanan antaranya untuk tujuan pembalakan tetapi juga akibat sikap rakus manusia atas nama kemajuan dan pembangunan. Kemusnahan hutan tidak terhenti di situ sahaja. Purata, 104 juta hektar hutan terjejas setiap tahun akibat kebakaran hutan, serangga atau bencana iklim seperti kemarau dan banjir. Angka-angka tersebut merupakan sebahagian daripada hasil dapatan Penilaian Sumber Hutan Global 2005 oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

HUTAN BUKAN SETAKAT POKOK
Hutan merupakan salah satu ekosistem yang tidak ternilai harganya di dunia kerana ia mengandungi lebih 60 peratus kepelbagaian hayat dunia. Kepentingan hutan meliputi fungsi ekologi dari segi perlindungan tanah dan lembangan juga ekonomi memandangkan begitu banyak hasil hutan yang boleh dituai di samping menjadi "rumah" bagi kebanyakan puak Orang Asli di seluruh dunia. Hutan juga sering dirujuk sebagai "Peparu Bumi" kerana tanaman hijau menyerap karbon dioksida sewaktu proses fotosintesis dan melepaskan oksigen ke atmosfera. Di sebalik kepentingannya yang luar biasa, kegiatan penyahhutanan secara tidak langsung melenyapkan khazanah semula jadi ini dari permukaan Bumi serta meningkatkan suhu bumi. Menurut Pergerakan Hutan Hujan Sedunia (WRM), rangkaian kumpulan rakyat antarabangsa Utara dan Selatan, berjuta-juta hektar hutan tropika lenyap setiap tahun. Di antara 1960 dan 1990 adalah dianggarkan lebih dari 20 peratus hutan tersebut lenyap dari muka bumi di mana 33 peratus daripadanya di Asia dan 18 peratus di Afrika dan Amerika Latin.

KAITAN ANTARA HUTAN DAN AIR
Pencinta alam sering mengaitkan bekalan air dengan pemuliharaan hutan. Seorang daripadanya ialah Prof Dr Chan Ngai Weng yang turut menyifatkan hutan terutamanya hutan bukit dan tanah tinggi serta persekitaran terdekatnya sebagai sistem semula jadi yang sensitif. Apabila diganggu, jelas beliau, impaknya bukan sahaja mendatangkan bencana kepada komponen sistem tersebut malah kepada manusia. "Apabila hutan turut menjadi kawasan tadahan air, faedahnya lebih banyak selain daripada membilang berapa banyak batang balak yang boleh ditebang daripada hutan tersebut. "Faedah-faedah tersebut termasuk fungsi ekologi, kawalan hakisan, kawalan banjir dan kawalan kepelbagaian hayat," kata Dr Chan yang juga Presiden Water Watch Penang (WWP). Beliau memberi amaran bahawa sejarah dan penulisan saintifik menunjukkan pembangunan hutan bukit bukan sahaja boleh memusnahkan persekitarannya yang berhampiran tetapi juga bahagian bawah bukit. Paling membimbangkan, katanya, kemusnahan yang berlaku tidak boleh diperbaiki. "Beberapa bencana akibat penyahhutanan seperti Highland Towers, tanah runtuh berhampiran Genting Highland dan Pos Dipang (Perak)," tambahnya.

HUTAN TANAH TINGGI
Menurut Dr Chan, penyahhutanan hutan tanah tinggi akan membinasakan alam semula jadi dan antara yang paling utama ialah kemusnahan "hutan awan" (cloud forest) yang boleh mengakibatkan kehilangan sumber air yang berharga. Katanya, bagi kebanyakan penyelidik air dan pakar perhutanan, salah satu fungsi utama hutan bukit adalah kemampuan menyerap lembapan di udara atau apa yang dipanggil sebagai "pemendakan mendatar" (horizontal precipitation). Istilah ini merujuk kepada lembapan yang memasuki ekosistem hutan menerusi pemeluwapan (condensation) wap atmosfera ke atas daun, rumput dan permukaan kawasan tumbuhan yang lain. "Bergantung kepada lokasi, hutan awan ini mungkin lazimnya boleh ditemui di tanah-tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Fraser's Hill, Genting Highlands dan juga tanah tinggi di Malaysia Timur. "Hutan-hutan tanah tinggi ini mengalami iklim mikro (microclimate) yang unik di mana suhu biasanya di paras rendah sementara kelembapan pula begitu tinggi. Akibatnya, sering ada lapisan kabus atau awan meliputi hutan-hutan ini," kata Dr Chan yang juga profesor Jabatan Ilmu Alam, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Menurut beliau, kajian ke atas hutan awan di kawasan tropika yang lembap menunjukkan hutan tersebut sering dilitupi awan atau kabus pada sepanjang masa, dan di samping menyerap air hujan, hutan berkenaan juga menerima lembapan tambahan dalam bentuk pemeluwapan titisan air di udara. "Kelembapan yang tinggi serta suhu yang rendah merupakan syarat membantu penukaran wap air kepada titisan air. Penyahhutanan akan memusnahkan terus kemampuan penyerapan hutan awan ini," jelas Dr Chan.

SUMBER AIR YANG SEMAKIN BERKURANGAN
Membinasakan hutan bukit boleh menyebabkan kehilangan sumber air yang banyak. Tanpa pokok, sebahagian besar lembapan di udara akan kekal di tempatnya sehingga proses hujan berlaku. Yang lebih penting, kata Dr Chan, ialah hakikat tanpa kawasan hutan yang tebal, apa sahaja lembapan yang ada di atmosfera akan terdedah kepada sistem angin. "Angin akan membawa lembapan itu ke tempat lain, sebagai contoh mengembalikannya ke lautan tanpa digunakan," tambahnya. Kawasan hutan yang mengalami penyahhutanan juga, katanya, tidak akan dapat menampung dan mengekalkan lembapan, sama ada di udara dan di tanah. Penyahhutanan akan mengeringkan tanah yang terdedah menerusi proses penyejatan (evaporation) dan mengurangkan sumber air. "Apabila keseluruhan kitaran hidrologi semula jadi terganggu, ini akan mencetuskan bahaya alam sekitar dan bencana seperti tanah runtuh, banjir di bahagian hilir, kehilangan fungsi kawasan tadahan air menyebabkan empangan kekeringan dan air tercemar akibat kadar endapan yang tinggi. "Apa yang saya sebut tadi semakin kerap berlaku di Malaysia dalam dekad-dekad kebelakangan ini apabila semakin banyak hutan bukit dibangunkan secara mendadak dan membahayakan. Penyahhutanan yang berleluasa akan mengurangkan asas sumber air. Untuk itu, perlindungan hutan bukit iaitu sumber utama air kita merupakan langkah awal ke arah pembangunan sumber air yang lestari," Dr Chan memberi peringatan.

APABILA TANAH TINGGI MENJADI TANAH RENDAH
Melindungi hutan bukit bukan sahaja kebimbangan Dr Chan tetapi juga R. Ramakrishnan yang dilahir dan dibesarkan di Cameron Highlands. Beliau juga merupakan Presiden REACH, singkatan untuk "Regional Environment Awareness Cameron Highlands", pertubuhan berasaskan kemasyarakatan yang ditubuhkan pada 2001 oleh sekumpulan penduduk Cameron Highlands. Dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkongsi kebimbangannya mengenai "kegiatan menebang hutan yang berleluasa di Cameron Highlands serta iklim tanah tinggi tersebut yang semakin panas." "Semasa saya kecil dan membesar di Cameron Highlands, tiada siapa boleh keluar rumah pada waktu pagi tanpa memakai jeket tebal. Seluruh Cameron Highlands pada masa itu diliputi kabus. Sekarang jarang sekali ada kabus,"kata Ramakrishnan mengenai zaman kanak-kanaknya. Dalam masa yang sama, kata beliau, meskipun masih ada burung berkicauan di Cameron Highlands, sesetengah daripada spesies burung tersebut "menyanyikan lagu yang berbeza." "Penggemar burung di Cameron Highlands ada melihat kehadiran spesies burung dari tanah rendah seperti rhino hornbill, black eagle, mountain bulbul, Asian flycatcher dan burung mynah. "Pada masa yang sama, sesetengah spesies burung tempatan seperti Malayan whistling thrush dan silver-eared mesia semakin pupus. Burung silver-eared mesia ini makan buah-buahan dari pokok yang biasanya tumbuh di tepi sungai. Kebanyakan pokok ini pun sudah ditebang," jelas Ramakrishnan. Menurut beliau, penghijrahan burung-burung dari tanah rendah ke Cameron Highlands merupakan petanda jelas suhu di tanah tinggi itu semakin panas.

SELAMATKAN BELUM-TEMENGGOR
Pembalakan, sama ada secara sah atau tidak merupakan salah satu sebab penyahhutanan selain kegiatan pertanian, ternakan lembu dan pembinaan empangan hidroelektrik. Kegiatan ini tidak disenangi pencinta-pencinta alam sekitar dan pejuang-pejuang pemuliharaan. Pembalakan turut mengancam kewujudan habitat hutan, sama ada spesies haiwan atau tumbuhan yang akan akhirnya menyebabkan kepupusan. Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) melancarkan kempen besar-besaran tahun lalu untuk menyelamatkan hutan simpan Belum-Temenggor daripada kerakusan kegiatan pembalakan. Hutan simpan seluas 300,000 hektar ini dilaporkan berusia lebih 130 juta tahun. Di samping menjadi kawasan tadahan hujan yang utama, ia juga merupakan kediaman untuk pelbagai spesies tumbuhan dan pokok yang melindungi lebih 270 spesies burung dan lebih 100 spesies mamalia termasuk harimau Malaya dan badak sumbu Sumatra yang semakin pupus. "Tak ramai yang sedar wujudnya bilangan burung enggang yang banyak di hutan Belum-Temenggor yang tidak dapat ditemui di mana-mana bahagian dunia. Di Malaysia ada 10 spesies burung enggang dan hanya di hutan Belum-Temenggor ada kesemua 10 spesies ini. Hanya di hutan itu juga terdapat kawanan burung enggang, sehingga ribuan ekor. "Burung-burung enggang ini ibarat tukang kebun hutan tersebut dan tanpa mereka hutan ini akan terjejas lama kelamaan," kata Pengarah Eksekutif MNS, Dr Loh Chi Leong. Mengenai kempen untuk menyelamatkan hutan Belum-Temenggor, beliau berkata meskipun pihaknya menerima banyak sokongan tetapi "tak ada perubahan yang berlaku seperti yang kami harapkan." MNS, katanya akan terus mendapatkan sokongan untuk kempen tersebut yang disifatkannya sebuah hutan paling istimewa dan perlu diselamatkan.

KEMPEN KESEDARAN
Seorang lagi pencinta alam sekitar, Datuk Dr Salleh Mohd Nor berpendapat masyarakat umum kurang prihatin terhadap nasib hutan di Negara ini. Beliau berkata kempen untuk menyemai perasaan sayangkan hutan perlu diadakan seperti kempen anti-merokok dan cintai sungai yang pernah dibuat oleh pihak kerajaan. "Kebanyakan kempen yang dibuat sebelum ini hanya untuk jangka masa yang pendek. Masyarakat perlu dididik dan diberi peringatan dari semasa ke semasa. Pertubuhan Bukan Kerajaan mempunyai sumber kewangan yang terhad untuk melakukan usaha ini. "Untuk kempen mengenai hutan, institusi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan perlu berada di barisan depan," kata Salleh yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dari 1985 hingga 1995. Memetik peribahasa purba, Salleh berkata "hutan ini bukan diwarisi daripada nenek-moyang kita tetapi sebenarnya dipinjam daripada anak dan cucu kita." "Apabila kita meminjam sesuatu, kita mesti jaga dan memulangkannya balik dalam keadaan yang sama atau keadaan yang lebih baik kepada anak cucu kita. Semua hasil sumber semula jadi ini dipinjamkan kepada kita oleh generasi masa depan. Apa yang kita hendak tinggalkan untuk mereka? " tanya Salleh.

BERNAMA

THE INFORMATION AND COMMENTS ON THIS WEBSITE ARE NOT MEANT TO BE USED OR QUOTED FOR ANY OFFICIAL OR UNOFFICIAL BUSINESS. WATER WATCH PENANG TAKES NO RESPONSIBILITY FOR THE ACCURACY. ANYONE USING THE INFORMATION AND DATA DO SO AT THEIR OWN RISK. WE ALSO APOLOGISE FOR ANY COMMENTS AND REMARKS ON THE WEBSITE THAT YOU MAY FEEL TO BE OFFENSIVE.
Copyright © 2007-2008 Water Watch Penang.